- Apakah anda mula merasa susah mengawal tingkah laku anak anda?
- Apakah anda dan pasangan sering tidak sefahaman dalam mendidik anak anak?
- Apakah anak anda sering merengek dan memaksa untuk menuruti kemahuannya?
- Apakah anak anda sering bergaduh antara satu sama lain?
- Apakah anda susah hati kerana anak anda selalu menonton tv atau bermain PS?
Jika ada jawapan YA, sila baca tips di bawah :
1. Tidak Pernah Bersalah
Sewaktu anak kita masih kecil dan belajar untuk berjalan,mereka tanpa
sengaja melanggar kerusi atau meja. Lalu mereka menangis. Umumnya, yang
dilakukan oleh ibubapa supaya tangisan anak berhenti adalah dengan
memukul kerusi atau meja yang tanpa sengaja mereka langgar. Sambil
berkata,
"Siapa yang nakal? Papa / Mama dah pukul kerusi / meja ... sudah cup .... cup ... diam ye
Akhirnya si anak pun terdiam.
Ketika proses pemukulan terhadap benda-benda yang mereka langgar,
sebenarnya kita telah mengajar anak kita bahawa dia tidak pernah
bersalah.
Yang salahnya orang atau benda lain. Pemikiran ini akan terus dibawa
sehingga dewasa. Akibatnya, apabila terjadi perselisihan atau
pertengkaran, yang salah adalah orang lain, dan dirinya selalu betul.
Akhirnya, orang lain yang tidak melakukan kesalahan akan menerima hukuman.
Kita sebagai ibubapa baru menyedari hal tersebut ketika si anak sudah mula melawan kepada kita.
Perilaku melawan ini terbentuk sejak kecil kerana tanpa sedar kita telah mengajarkan untuk tidak pernah merasa bersalah.
Lalu, apa yang sebaiknya kita lakukan ketika si anak yang baru berjalan melanggar sesuatu sehingga membuatnya menangis?
Sebaiknya, ajarlah dia untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi;
katakanlah padanya (sambil mengusap bahagian yang terasa sakit):
"Sayang, kamu langgar ya. Sakit? Lain kali hati-hati, jalan
perlahan-lahan supaya tidak terkena lagi. "
2. Berbohong Kecil
Mulanya anak-anak kita adalah anak yang selalu mendengar kata ibubapanya.
Mengapa? Kerana mereka percaya sepenuhnya kepada ibubapanya.
Namun, ketika anak meningkat dewasa, dia sudah tidak menuruti arahan atau permintaan kita? Apa yang berlaku?
Apakah anak kita sudah tidak percaya lagi dengan perkataan atau ucapan-ucapan kita lagi?
Tanpa sedar kita sebagai ibubapa setiap hari sering membohongi anak
untuk mengelakkan kemahuannya. Salah satu contoh pada waktu kita
tergesa-gesa pergi ke pejabat di pagi hari, anak kita ingin mengikut
atau mengajak berjalan mengelilingi kawasan perumahan. Apa yang kita
lakukan? Apakah kita menjelaskan dengan jawapan yang jujur? Atau kita
memilih untuk berbohong dengan mengalihkan perhatian si kecil ke tempat lain, selepas itu kita bergegas pergi? Atau yang ekstrem kita mengatakan,
"Papa / Mama hanya keluar sebentar, hanya ke depan saja, sebentar saja
ya, Sayang." Tapi sebaliknya, kita pulang malam. Contah lain yang
sering kita lakukan ketika kita sedang menyuap anak makan kita,
"Kalau tak nak makan, nanti Papa/Mama tak bawa jalan-jalan"
Padahal secara logik antara jalan-jalan dan cara / pola makan anak, tidak ada kaitan langsung.Dari beberapa contoh di atas, jika kita berbohong kecil , kesannya
ternyata besar. Anak tidak akan percaya lagi dengan kita sebagai
ibubapa. Anak tidak dapat membezakan kenyataan kita yang boleh
dipercayai atau tidak. Akhirnya, anak menganggap semua yang diucapkan
oleh ibubapnya adalah bohong dan anak mula tidak menuruti segala
perkataan kita.
Apa yang sebaiknya kita lakukan? Berkatalah dengan jujur kepada anak. Ungkapkan dengan penuh kasih dan pengertian:
"Sayang, Papa / Mama nak pergi kerja. Kamu tidak boleh ikut."
Kita tak perlu merasa bimbang dengan keadaan ini.Pastinya memerlukan
lebih masa untuk memberi pemahaman kepada anak kerana biasanya mereka
akan menangis. Anak menangis kerana dia belum memahami keadaan mengapa
ibubapanya harus selalu pergi di pagi hari. Kita harus bersabar dan beri
pemahaman kepada mereka secara terus menerus.Perlahan-lahan anak akan
memahami keadaan mengapa ibubapanya selalu pergi di pagi hari dan bila
pergi bekerja, anak tidak boleh ikut. Sebaliknya bila pergi ke tempat
selain pejabat, anak pasti diajak ibubapanya. Pastikan kita selalu jujur
dalam mengatakan sesuatu. Anak akan mampu memahami dan menuruti apa
yang kita katakan.
3. Banyak Mengancam/Mengugut/Memberi Amaran
"Adik, jangan naik ke atas meja! nanti jatuh dan tiada yang nak tolong! "
"Jangan ganggu adik, nanti Mama / Papa marah!"
Pada anak, pernyataan seperti melarang atau perintah dan disuarakan
dengan cara menjerit tanpa kita berganjak dari tempat duduk atau tanpa
kita menghentikan suatu aktiviti, kenyataan itu sudah termasuk ancaman.
Apa lagi jika ada ayat tambahan ".... nanti Mama / Papa marah!"
Seorang
anak sangat pandai dalam mempelajari cara ibubapanya; dia boleh
mengetahui cara ibubapanya mendidik, memesongkan atau mengawal cara
ibubapanya. Hal ini terjadi bila kita sering menggunakan ancaman dengan
kata-kata, namun selepas itu tidak ada tindakan lanjut atau mungkin kita
sudah lupa dengan ancaman-ancaman yang pernah kita ucapkan.
Apa yang sebaiknya kita lakukan? .
Kita tidak perlu menjerit-jerit seperti itu. Dekati si anak, hadapkan
seluruh tubuh dan perhatian kita padanya. Tatap matanya dengan lembut,
namun tunjukkan riak muka/ekspresi kita tidak senang dengan tindakan
yang mereka lakukan. Sikap itu juga ditegaskan dengan kata-kata,
"Sayang, Papa / Mama minta supaya kamu boleh meminjamkan mainan ini pada adikmu.
Papa / Mama akan makin sayang dengan kamu. "
Tidak perlu dengan ancaman atau jeritan. Atau kita boleh juga menyatakan
suatu pernyataan yang menjelaskan suatu akibat, contohnya
"Sayang, bila kamu tidak meminjamkan mainan in ke adikmu, Papa / Mama
akan simpan mainan ini dan kamu berdua tidak boleh bermain. Mainan akan
Papa / Mama keluarkan jika kamu pinjamkan mainan itu ke adikmu. "
Tepati kenyataan kita dengan tindakan.
4. Bicara Tidak Tepat Sasaran/Tidak Jelas Maksud
Pernahkah kita mengherdik anak dengan ayat seperti,
"Papa / Mama tidak suka bila kamu begini / begitu!" Atau "Papa / Mama tidak mau kamu berbuat seperti itu lagi!"
Namun kita lupa menjelaskan secara terperinci dan dengan baik, hal-hal
atau tindakan apa saja yang kita inginkan. Anak tidak pernah tahu apa
yang diinginkan atau diperlukan oleh ibubapanya dalam hl seperti
itu.Akibatnya anak terus mencuba sesuatu yang baru. Dari banyak
percubaan yang dilakukannya, tetapi selalu dikatakan salah oleh
ibubapanya. Hal ini mengakibatkan mereka mengulangi dengan sengaja untuk
melakukan hal-hal yang tidak disukai oleh ibubapanya. Tujuannya untuk
mrmbuat ibubapanya kesal sebagai mana anak juga kesal apabila
tindakannya selalu salah di hadapan ibubapa.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Sampaikanlah hal-hal atau tindakan yang kita inginkan atau perlukan
ketika kita menegur perilaku atau hal yang tidak kita
sukai.Berkomunikasi dengan berkesan tentang hal atau perilaku yang kita
inginkan atau perlukan. Apabila mereka sudah melakukan segala perkara
atau perilaku yang kita inginkan atau perlukan, ucapkanlah terima kasih
dengan tulus dan penuh kasih sayang atas segala usahanya untuk berubah.
5. Menekankan pada Hal-hal yang salah
Ramai ibubapa sering mengadu tentang anak-anaknya tidak patuh dan suka
bertengkar. Ketika anak bertengkar, perhatian kita tertuju pada mereka,
kita cuba melerai atau bahkan memarahi. Tapi apakah kita sebagai ibubapa
pernah melihat ketika mereka sedang bermain dengan leka? Kita selalu
menganggap bahawa tidak perlu menyapa mereka kerana mereka sedang
leka.Situasi ini adalah salah, kerana akan menggalakkan mereka untuk
bertengkar agar dapat menarik perhatian ibubapanya,
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Beri pujian setiap kali mereka sedang seronok bermain, setiap kali
mereka berkongsi mainan antara mereka dengan ayat mudah difahami.
Peluklah mereka sebagai tanda senang dan sayang.
6. Merendahkan Diri Sendiri
Apa yang anda lakukan jika melihat anak anda tengok cite kartun lebih
dari belajar? Mungkin ini ayat yang sering kita ucapkan pada mereka,
"Tukarlah cite lain, asyik tengok kartun je
Atau kita ungkapkan dengan kenyataan lain, namun tetap dengan bentuk
yang mungkin ditakuti oleh anak. Contoh pernyataan ancaman diatas adalah
ketika yang ditakuti adalah Papa.
Dekati anak, tatap matanya, dan katakan dengan nada serius bahawa kita
ingin dia berhenti main sekarang atau berikan pilihan, contohnya :
"Sayang, Papa / Mama nak kamu mandi. Nak mandi sekarang atau lima minit
lagi? "Bila jawapannya" lima minit lagi Pa / Ma ". Kita jawab kembali,
"Baik, selepas lima minit kamu mesti mandi. Tapi jika tidak berhenti
selepas lima minit, dengan terpaksa papa / mama x bagi tengok cite kartun lagi ".
Selepas lima minit, dekati si anak, tatap matanya dan katakan telah
cukup lima minit. Jika anak tidak berganjak, tutup tv
7. Ibubapa Tidak Tegas
Mendidik anak bukan hanya tanggungjawab para ibu atau bapa sahaja, tapi
kedua-duanya. Ibubapa harus mempunyai kata sepakat dalam mendidik
anak-anaknya. Anak mudah menangkap rasa yang menyenangkan dan tidak
menyenangkan bagi dirinya. Contoh, seorang ibu melarang anaknya menonton
TV dan memintanya untuk mengerjakan kerja sekolah, namun pada masa yang
sama, si bapa membela si anak dengan ayat tidak mengapa menonton TV
terus agar anak tidak stress. Jika hal ini terjadi, anak akan menilai
ibunya jahat dan bapanya baik, akibatnya setiap kali ibunya memberi
perintah, ia akan mula melawan dengan berlindung dengan pembelaan
bapanya. Begitu juga sebaliknya.
Di hadapan anak, jangan berbeza pendapat untuk hal-hal yang berkaitan
dengan persoalan mendidik anak. Pada masa salah seorang dari kita sedang
mendidik anak, maka pasangan kita harus menyokongnya. Contoh, ketika si
ibu mendidik anaknya untuk berlaku baik terhadap si kakak, dan si ayah
harus menyokong pernyataan, "Betul kata mama, Dik. kamu perlu sayang dan
hormati kakak .... "
8. Campur Tangan Datuk, Nenek, Saudara, atau Pihak Lain
Ibubapa
berusaha untuk bertegas dan sepakat satu sama lain dalam mendidik
anak-anak, tiba-tiba ada pihak ke-3 yang muncul dan cenderung membela si
anak. Pihak ke-3 yang dimaksudkan seperti datuk, nenek,bapa saudara,
ibu saudara atau pihak lain di luar keluarga.
Seperti kebiasaan ke-7 (ibubapa tidak tegas), kesan ke anak tetap
negatif bila dalam satu rumah terdapat pihak luar yang campur tangan
dalam hal mendidik anak. Anak akan cenderung berlindung pada orang yang
membelanya dan juga cenderung melawan ibubapanya.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Pastikan dan yakinkan kepada siapa pun yang tinggal di rumah kita untuk
sepakat dalam mendidik dan tidak mencampuri pada masa proses mendidik
anak. Berikan penerangan dengan bahasa yang boleh diterima baik oleh
para pihak ke-3.
9. Menakutkan Anak
Kebiasaan ini dilakukan oleh ibubapa semasa anak menangis dan berusaha
untuk menenangkan dia. Kita juga terbiasa mengugut anak untuk
mengalihkan perhatiannya,
"Ada pengawal keselamatan, tidak boleh beli mainan itu!"
Hasilnya memang anak sering kali berhenti merengek atau menangis, namun
secara tidak sedar kita telah menanamkan rasa takut atau benci pada
institusi atau pihak yang kita sebutkan .
Sebaiknya, berkata dengan jujur dan terangkan kepada anak seperti kita
menerangkan kepada orang dewasa kerana anak-anak juga mampu berfikir
dewasa. Jika anak tetap memaksa, katakanlah dengan penuh makna dan
tataplah matanya, "Kamu boleh menangis, tapi papa / mama tetap tidak
akan membelikan gula-gula." Biarkan anak kita yang memaksa tadi menangis
hingga diam dengan sendirinya.
10. Ucapan dan Tindakan Tidak Sesuai/Tidak Selaras
Konsisten mutlak diperlukan dalam mendidk anak. Konsisten merupakan
kesesuaian antara yang dinyatakan dan tindakan. Anak mempunyai ingatan
yang tajam terhadap suatu janji, dan ia sangat menghormati orang-orang
yang menepati janji baik untuk memberi hadiah atau janji untuk memberi
hukuman.
Jangan pernah menabur janji kepada anak dengan tujuan untuk memujuknya,
agar ia mengikuti permintaan kita seperti segera mandi, selalu belajar,
tidak menonton televisyen. Fikirlah terlebih dahulu sebelum berjanji
sama ada kita benar-benar boleh memenuhi janji tersebut. Jika ada janji
yang tidak boleh dipenuhi segeralah minta maaf, berikan alasan yang
jujur dan minta dia untuk menentukan apa yang kita boleh lakukan
bersama anak untuk menukar janji itu.
11. Hadiah untuk Kelakuan Buruk Anak
Acapkali kita tidak konsisten dengan kenyataan yang pernah kita
nyatakan. Bila hal ini terjadi, tanpa kita sedari kita telah mengajar
anak untuk melawan kita.Contoh klasik dan sering terjadi adalah pada
saat kita bersama anak di tempat awam, anak merengek meminta sesuatu dan
rengekannya menjadi jeritan dan ada gerak perlawanan. Anak terus
mencari akal agar keinginannya dipenuhi, dan menyebabkan kita malu. Pada
masa inilah kita seringkali kalah kerana tidak sabar lagi dengan
rengekan anak kita.Akhirnya kita mengiyakan keinginan si anak.
"Ya sudah; kamu ambil satu pemainannya. Satu saja ya! "
Kenyataan tersebut adalah sebagai hadiah bagi perilaku buruk si anak. Anak akan mempelajarinya dan mengulangi pada hari lain bahkan mungkin dengan cara yang lebih lagi.
Menghadapi keadaan seperti ini, tetaplah konsisten; tidak perlu malu
atau takut dikatakan sebagai ibubapa yang tidak mwngawal anaknya.
Ingatlah selalu bahawa kita sedang mendidik anak, apabila kita konsisten
dan tegas anak tidak akan mengulangi lagi. Tetaplah KONSISTEN dan
pantang menyerah! Apapun alasannya, jangan pernah memberi hadiah pada
perilaku buruk si anak.
12. Rasa Bersalah Kerana Tidak Boleh Memberikan yang Terbaik
Kehidupan metropolitan telah memaksa sebahagian besar ibubapa banyak
menghabiskan masa di pejabat dan di jalan raya daripada bersama
anak.Terbatasnya masa inilah yang menyebabkan ramai ibubapa merasa
bersalah atas situasi ini. Akibat dari perasaan bersalah ini, kita,
membenarkan perangai buruk anak dengan ungkapan yang sering
dilontarkan,
"Biarlah dia seperti ini mungkin kerana saya jarang meluangkan masa dengannya ..."
Semakin kita merasa bersalah terhadap keadaan, semakin banyak kita
menyemai tingkah laku buruk anak. Semakin kita maklum tingkah laku buruk
anak, anak juga akan semakin sering melakukannya. Sebahagian besar
tingkah laku anak bermasalah yang pernah saya (penulis) hadapi banyak
berpunca dari cara ibubapa berfikir yang seperti ini.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Kita tidak boleh membandingkan keadaan sosial ekonomi dan masa kita
dengan orang lain. Setiap keluarga mempunyai masalah yang tersendiri.
Ada orang yang punya kelebihan dari segi kewangan tapi kesuntukan masa
bertemu dengan anak, dan sebaliknya. Jangan pernah memikirkan hal yang
tidak baik. Lakukanlah pendekatan berkualiti jika kita hanya mempunyai
sedikit masa; gunakan masa yang minimum itu untuk berkongsi sepenuhnya
dengan anak. Memang tidak mudah tapi lakukanlah demi mereka dan keluarga
kita, anak akan terbiasa.
13. Mudah menyerah dan pasrah
Setiap manusia mempunyai watak yang berbeza-beza, ada yang lembut dan
ada yang keras.Kebanyakan ciri watak yang dimiliki oleh ibubapa adalah
kurang tegas, mudah menyerah, selalu takut salah dan cenderung
mengalah/pasrah. Konflik ini biasanya berlaku bila mempunyai anak yang
berwatak keras. Akibatnya, si anak jauh lebih dominan untuk mempengaruhi
keputusan dan ibubapa sukar mengawal tingkah laku anaknya dan cenderung
pasrah.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Belajar dan berusaha dengan keras untuk menjadi lebih tegas dalam
mengambil keputusan, tingkatkan watak keteguhan hati dan pantang
menyerah. Jika perlu, ambil orang yang kita anggap tegas untuk jadi
penasihat harian kita.
14. Marah Yang Berlebihan
Kita seringkali menyamakan antara mendidik dengan memarahi. Perlu
diingat, memarahi adalah salah satu cara mendidik yang paling buruk.Pada
saat memarahi anak, kita bukan sedang mendidik mereka, melainkan
melepaskan geram atau kekesalan kerana kita tidak boleh mengatasi
masalah dengan baik. Marah juga hanya usaha untuk melemparkan kesalahan
pada pihak lain [dan biasanya yang lebih lemah seperti anak-anak].
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jangan bercakap ketika marah! Jadi tahanlah dengan cara yang selesa
untuk kita lakukan seperti masuk bilik mandi atau ke mana-mana sehingga
marah reda. Yang perlu dilakukan adalah bicara "tegas" bukan bicara
"keras".Bicara yang tegas adalah dengan nada yang rata, dengan serius
dan menatap wajah serta matanya dalam dalam. Bicara tegas adalah bicara
pada ketika fikiran kita rasional, sedangkan bicara keras adalah pada
masa fikiran kita dikuasai emosi.
Satu contoh lagi yang kurang baik, ketika marah biasanya kita emosi dan
mengucapkan / melakukan hal hal yang kelak kita sesali, setelah ini
terjadi, biasanya kita akan menyesal dan berusaha memperbaikinya dengan
membolehkan hal-hal yang sebelumnya kita larang. Bila hal ini berulang
kali, maka anak kita akan selalu berusaha memancing marah kita, dan
kesudahannya si anak menikmati hasilnya. Anak yang sering dimarahi tidak
akan jadi lebih baik.
15. Ego Untuk Menyapa
Kita pasti pernah mengalami bahawa kita terlanjur marah besar pada anak,
biasanya marah terbawa lebih dari sehari, akibat dari rasa kesal yang
masih tersisa dan rasa ego, kita enggan menyapa anak kita. Masing-masing
menunggu untuk memulakan kembali hubungan yang normal.
Apa yang perlu kita lakukan agar komunikasi cair kembali? Siapa yang
seharusnya memulakan? Kita sebagai ibubapalah yang seharusnya memulakan
masa anak mula menunjukkan tanda-tanda perdamaian dan mengikuti
keinginan kita. Dengan cara ini kita dapat menunjukkan kepada anak
bahawa kita tidak suka pada sikap anak, bukan pada peribadinya.
16. Memaklumi/Menerangkan yang tidak kena pada tempatnya
Ini biasanya berlaku pada kebanyakan ibubapa konservatif. Contohnya
melihat anak lelaki yang suka mengusik, nakal, ibubapa suka mengatakan,
"Alah, anak lelaki memang begitu" atau ketika melihat kakak dan adik
bertengkar, ibunya berkata "maklumlah ... namanya juga anak anak". Atau
ketika si anak memukul teman, ibubapa masih juga membela dengan
mengatakan " maklumlah namanya juga anak anak. Tak sengaja . "
Bila kita selalu membela tindakan salah yang dilakukan anak-anak,
automatik si anak berfikir sikapnya betul, dan akan menjadi teruk jika
terbawa sehingga ke dewasa.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Tidak perlu menerangkan hal yang tidak perlu, kita harus mendidik setiap
anak sesuai dengan sifat dasarnya. Setiap anak boleh dididik dengan
tegas [ingat: bukan keras] sejak usia 2 tahun. Semakin awal usianya,
semakin mudah untuk dikendalikan dan diajak kerjasama. Anak kita akan
bekerjasama jika kita selalu mengajaknya dialog dari hati ke hati,
tegas, dan konsisten. Ingat, tidak perlu menunggu sehingga usianya
dewasa, kerana semakin bertambah usia, semakin tinggi tahap kesukaran
untuk mengubah sikap buruknya.
17. Penggunaan istilah yang tidak jelas maksudnya
Ibubapa kerap menggunakan kenyataan seperti "Jaga ye, kalau kamu nak
ikut mama / papa, tidak boleh nakal!" Atau, "Ingat, kalau nanti ikut
dengan mama / papa, jangan memalukan mama", boleh juga terungkap ,
"kalau nak jalan jalan ke taman permainan, jangan macam macam ya".
Tanpa disedari kita sering menggunakan istilah yang sukar difahami atau
bermakna lain. Istilah ini akan mengelirukan anak kita. Dalam hati
mereka bertanya apa yang dimaksudkan dengan nakal, tingkah laku apa yang
termasuk dalam kategori nakal, begitu pula dengan istilah "jangan macam
macam", tingkah laku apa yang termasuk kategori "macam macam". Anak
menjadi keliru.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Bercakap dengan jelas dan tertentu, Contohnya
"Sayang, kalau kamu nak ikut mama / papa, tidak boleh minta mainan,
gula-gula, dan tidak boleh menejrit di juruwang seperti dulu ye".
Hal ini penting agar anak mengetahui batasan-batasan apa yang boleh dan
tidak boleh dilakukan, serta jangan lupa bersetuju apa akibatnya bila
perjanjian ini dilanggar.
18. Mengharap Perubahan Segera
Kita terbiasa hidup dalam budaya yang serba segera, seperti mee segera,
susu segera, minuman segera. Sehingga bila anak berbuat salah, kita
inginkan perubahan yang segera juga, contoh ketika biasa terlambat
bangun, tidak mengemas tempat tidur, sukar dimandikan, kita ingin agar
anak kita berubah mendadak dalam jangka masa sehari.
Apabila kita sering memaksa perubahan pada anak kita dalam waku singkat,
kemungkinan besar anak sukar memuaskan. Dan ketika dia gagal dalam
memenuhi keinginan kita, anak akan kecewa dan tidak yakin boleh
melakukannnya lagi. Akibatnya dia memilih untuk melakukan perlawanan
seperti banyak memberi alasan, acuh tak acuh, atau marah-marah pada
adiknya.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jika kita mengharapkan perubahan pada anak, berilah masa untuk setiap
fasa perubahan yang rasional untuk boleh dicapainya. Elakkan membuat
target perubahan yang tidak mungkin boleh dicapainya. Ajaklah dia untuk
melakukan perubahan dari hal yang paling mudah. Biarkanlah dia memilih
hal yang paling mudah untuk diubah. Kejayaannya untuk melakukan
perubahan tersebut boleh memotivasikan anak untuk melakukan perubahan
lain yang lebih sukar. Puji dan jika perlu raikan kejayaan yang
dicapainya, sekecil dan semudah apapun perubahan itu. Hal ini untuk
menunjukkan betapa seriusnya perhatian kita terhadap usaha yang telah
dilakukannya. Tumpukan perhatian dan pujian kita pada usahanya, bukan
pada hasilnya.
19. Bukan Pendengar yang Baik
Sebahagian besar ibubapa adalah bukan pendengar yang baik bagi anak
anaknya.Benarkah? Bila ada suatu masalah yang terjadi pada anak, ibubapa
lebih suka menyampuk, terus menasihati tanpa bertanya permasalahannya
serta asal usul kejadiannya.
Sebagai contoh, anak kita baru saja pulang sekolah yang sepatutnya
pulang waktu tengahari tetapi sampai di rumah pada waktu petang. Ibubapa
menjadi risau dan menunggu kepulangan anak.
Ketika
anak kita sampai dan masih penat, kita terus menyambutnya dengan
pelbagai pertanyaan dan bebelan. Bila anak hendak bicara, kita selalu
memotongnya. Akibatnya anak tidak ingin bercakap dan marah pada kita.
Bila kita tidak berusaha mendengar mereka, maka mereka pun akan bersikap
seperti itu pada kita dan akan belajar mengabaikan kita.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jika kita tidak ingin hal ini terjadi, maka mulai saat ini jadilah
pendengar yang baik. Dengarkan setiap ucapannya. Ajukan soalan-soalan
untuk menunjukkan minat kita akan persoalan yang dihadapinya.
20. Selalu menuruti permintaan anak.
Apakah anak kita adalah anak tunggal? Atau anak lelaki yang
ditunggu-tunggu dari beberapa anak perempuan kakak-kakaknya? Atau
mungkin anak yang sudah bertahun-tahun ditunggu tunggu? Fenomena ini
seringkali menjadikan ibubapa teramat sayang pada anaknya sehingga apa
saja kemahuan dituruti.
Seperti Raja Kecil, semakin hari tuntutannya semakin banyak dan kuat,
jika menjadi kebiasaan akan sukar dibendung. Anak yang dididik dengan
cara ini akan menjadi anak yang ego, tidak inign bertolak ansur, dan
tidak boleh bersosial.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Betapa sayangnya kita pada anak, janganlah pernah mengamalkan cara
didikan seperti ini. Rasa sayang tidak perlu di tunjukkan dengan
menuruti segala kemahuannya. Jika kita sayang, maka kita harus mengajar
tentang nilai baik dan buruk, yang benar dan yang salah, yang boleh dan
yang tidak boleh. Jika tidak, rasa sayang kita akan membuatnya jadi anak
yang mementingkan diri sendiri.
21. Terlalu Banyak Larangan
Ini adalah bertentangan dari kebiasaan di atas. Ibubapa jenis ini
cenderung menjadikan anak seperti apa yang kita inginkan secara
SEMPURNA, kita cenderung membentuk anak kita sesuai dengan keinginan
kita; anak kita harus begini tidak boleh begitu; dilarang melakukan ini
dan itu.
Sehingga anak tidak tahan lagi dengan cara kita, dia pun akan
memberontak, baik dengan cara menyakiti diri,memberontak dalam diam atau
dengan terbuka. Oleh itu, kurangkan sifat kesempurnaan kita, berilah
izin kepada anak untuk melakukan perkara yang baik dan positif. Berlatih
untuk selalu berdialog agar kita boleh melihat dan memahami sudut
pandang orang lain. Bangkit dengan situasi saling mempercayai antara
anak dan kita. Kurangkan jumlah larangan yang berlebihan dengan meminta
pertimbangan pada pasangan kita. Gunakan kesepakatan untuk memberikan
batas yang lebih baik.
Contoh,
"kamu boleh keluar tapi jam 9 malam harus tiba di rumah. Jika kemungkinan pulang lambat, segera beritahu Papa / Mama.
22. Terlalu Cepat Membuat Kesimpulan
Ini adalah kesan akibat tidak menjadi pendengar yang baik. Kita kerap
memotong perbualan ketika anak sedang memberi penjelasan, dan akan
membuat kesimpulan akhir yang biasanya akan memburukkan atau
mengecewakan anak. Padahal kesimpulan kita belum tentu benar, dan
seandainya benar, cara seperti ini akan menyakitkan hati anak kita.
Seperti contoh anak yang balik lewat. Anak terlambat balik dan hendak
menjelaskan sebabnya, kita memotong ayatnya dengan ungkapan, "Sudah!
jangan bagi alasan " atau " Ah, Papa / Mama tahu, kamu pasti menyimpang
ke tempat lain kan?! ".
Jika kita melakukan kebiasaan ini terus menerus, anak akan berfikir kita
adalah ibubapa yang tidak mahu memahami keadaan dan menjengkelkan. Lalu
mereka tidak ingin bercerita atau bercakap lagi, dan akibat anak akan
benar-benar melakukan hal-hal yang kita tuduhkan padanya. Anak tidak
ingin mendengar nasihat kita lagi, dan pada tahap yang paling teruk, dia
akan pergi ketika kita sedang berbicara padanya. Pernahkah anda
mengalami hal ini?
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jangan pernah memotong percakapan dan membuat kesimpulan terlalu
awal.Tak seorang pun yang suka bila percakapannya dipotong, apalagi
ceritanya disimpulkan oleh orang lain.
Dengarkan, dengarkan, dan dengarkan sambil memberikan tanggapan positif
dan bersemangat. Ada masanya kita akan diminta untuk bercakap, tentunya
setelah anak selesai dengan ceritanya. Bila anak sudah membuka soalan,
"bagaimana,ibu/ayah?" Ertinya dia sudah sedia untuk mendengar pertuturan
atau komen kita.
23. Mengungkit Kesalahan Masa Lalu
Akibat bukan pendengar yangbaik dan terlalu cepat membuat kesimpulan
akan berlanjutan dengan hal yang menyakitkan hati anak, dengan
mengungkit rekod kesalahan yang pernah dibuat oleh anak. Contohnya, "kan
Papa / Mama dah cakap? Kamu tidak pernah nak mendengar, sekarang tengok
apa dah jadi. Jadi kena dengar cakap mama / papa".
Kiat berharap dengan mengungkit kejadian masa lalu, anak akan belajar
dari kesilapan. Namun yang terjadi adalah sebaliknya, anak akan sakit
hati dan berusaha mengulangi kesalahannya sebagai tindakan balasan dari
sakit hatinya.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jika kita tidak ingin anak berkelakuan buruk lagi, janganlah
diungkit-ungkit masa lalunya. Cukup dengan tatapan mata, jika perlu
rangkullah dia. Ikutlah berempati sampai dia mengakui kesalahan dan
kekeliruannya. Ucapkan kenyataan seperti "manusia itu tempatnya salah
dan lupa, semoga ini menjadi pelajaran berharga buat kamu", atau "Papa /
mama bangga kamu boleh mencari hikmah positif dari kejadian ini". Jika
ini yang kita lakukan, anak akan lebih mendengar nasihat kita. Cuba dan
buktikanlah!.
24. Suka Membandingkan
Hal yang paling menyakitkan adalah ketika kita membandingkan dengan
orang lain.Bila kita sedang berada di suatu majlis dan bertemu dengan
orang yang berpakaian hampir sama atau berwarna sama, kita merasa tidak
selesa untuk berdekatan.
Secara psikologi, kita sangat tidak suka bila kehadiran kita baik secara
fizikal atau sifat-sifat kita dibanding dengan orang lain. Cuba ingat
pengalaman kita bila ada orang yang membandingkan kita, bagaimana perasaan kita saat itu?
Tetapi, kebanyakan ibubapa sering melakukan hal ini pada anaknya -
membandingkan anak yang malas dengan yang rajin. Anak yang kemas dengan
yang comot. Anak yang cekap dengan anak yang lembap. Anak yang mendapat
markah tinggi di sekolah dengan anak yang markah rendah. Ayat yang
sering terdengar biasanya seperti, "Cuba kamu rajin belajar seperti
adik, mesti markah kamu tidak seperti ini!".
Jika kita tetap melakukan kebiasaan ini, beberapa akibat akan berlaku;
anak kita semakin tidak menyukai kita. Anak yang dibandingkan akan iri
dan dengki dengan yang dibanding. Anak yang menjadi pembanding akan
merasa sombong dan bongkak.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Tiap manusia dilahirkan dengan watak dan sifat yang unik. Jangan
sesekali membandingkan antara satu sama lain. Catat perubahan setiap
sikap anak. Jika ingin membandingkan, bandingkanlah dengan sikap mereka
di masa lalu, ataupun dengan nilai-nilai ideal yang ingin mereka capai.
Contohnya, "Eh, biasanya anak papa / mama suka mengemas tempat tidur,
kenapa hari ini tak ya?"
25. Sentiasa Betul dan Tahu Segalanya
Egosentrik (bersifat mementingkan keperluan sendiri sahaja (tanpa
mengendahkan keperluan orang lain) terjadi pada anak usia 1-3 tahun.
Usia tersebut adalah masa apabila anak merasa paling benar dan
memaksakan kehendaknya. Tapi sifat ini terbawa dan masih banyak dimiliki
oleh ibubapa. Contoh ungkapan orang tua, "ah kamu ini masih hingusan,
bukan tau apa soal hidup." Atau, "kamu tau tak, papa / mama ini sudah
banyak makan asam garam kehidupan, jadi tak payah bagi nasihat dengan
kami!".
Jika kita mempunyai kebiasaan seperti ini, kita telah membuat proses
komunikasi dengan anak ke arah jalan buntu. Walaupun maksud kita adalah
untuk menunjukkan kelebihan kita di depan anak, tapi yang ditangkap anak
adalah semacam kesombongan yang luar biasa, dan tentu saja tak seorang
pun ingin mendengar nasihat orang yang sombong.
Apa yang seharusnya kita lakukan?
Seringkali usia dijadikan acuan tentang banyaknya pengetahuan dan
pengalaman. Pada zaman dulu hal ini boleh jadi benar, namun sekarang,
keadaan itu tidak berlaku lagi. Siapa yang lebih banyak mendapatkan
maklumat dan mengikuti kegiatan, maka dialah yang lebih banyak tahu dan
berpengalaman.
Jadi janganlah merasa menjadi orang yang paling tahu, paling hebat,
paling alim. Dengarkanlah setiap input yang datang dari anak kita.
26. Saling Melepaskan Tanggungjawab
Mendidik anak menjadi tanggungjawab ibubapa. Bila kedua belah pihak
merasa kurang bertanggungjawab, maka proses pendidikan anak akan terasa
tempang dan jauh dari berjaya. Lagi teruk, bila ibubapa sudah mula
merasakan kesan perlawanan dari anak-anaknya, yang sering terjadi malah
saling menyalahkan satu sama lain.
Kenyataan yang kerap muncul adalah, "kamu tak pandai nak mendidik anak",
dan kemudian dibalas "sedapnya bercakap, kamu sendiri selama ini ke
mana?!". Jika cara ini yang dipertahankan dalam keluarga, adakah
menyelesaikan masalah? Tunggu saja hasilnya, pasti ibubapalah yang akan
menuai hasilnya, anak akan merasa sikap buruknya adalah bukan kerana
kesalahannya, tapi kerana ketidaksepakatan ibubapanya. Jelas anak tidak
akan merasa dididik malah semakin berkelakuan buruk.
Apa yang seharusnya kita lakukan?
Hentikan saling menyalahkan. Ambillah tanggungjawab sebagai ibubapa
secara seimbang.keberhasilan pendidikan terletak di tangan ibubapa.
Pendidikan adalah kerja sama pasukan, bukan individu. Jangan gunakan
alasan tidak ada masa, semua orang mempunyai masa 24 jam sehari, jadi
aturlah masa kita dengan berbagai macam cara dan berbincang selalu
dengan pasangan kita.
27. Kakak/Abang Harus Selalu Mengalah
Kebiasaan anak yang lebih tua harus selalu mengalah pada yang lebih
muda. Seolah-olah hal itu sudah menjadi budaya. Tapi sebenarnya, adakah
dasar logiknya dan di mana prinsip keadilannya?
Ada satu contoh nyata seperti berikut:
Ada seorang kakak beradik, kakak bernama Dita dan adik bernama
Rafiq.Neneknya selaku pengasuh utama selalu memarahi Dita ketika Rafiq
menangis.Tanpa mengetahui siapa yang salah dan benar, si Nenek selalu
membela si adik dan meletakkan kesalahan pada kakaknya. "Kenapa dengan
kamu ini ? Sudah besar tapi tak nak mengalah dengan adik. "Begitulah
ucapan yang keluar dari mulut si Nenek. Terkadang disertai dengan
cubitan pada kakaknya.
Apa yang terjadi selanjutnya? Dita menjadi anak yang tidak mempunyai
rasa percaya diri. Dia pun mula membenci adiknya. Lama kelamaan Dita
mula banyak melawan atas ketidakadilan ini, dan yang terjadi kemudian
adalah kedua bersaudara ini makin sering bertengkar. Sementara Rafiq
yang selalu dibela menjadi makin ego dan makin berani menyakiti
kakaknya, selalu merasa benar dan memberontak.
Apa yang seharusnya kita lakukan?
Anak perlu diajar untuk memahami nilai benar dan salah atas
perbuatannya.Nilai benar dan salah tidak mengenal faktor usia. Benar
selalu benar dan salah selalu salah berapa pun usia pelakunya.
Berlakulah adil. Ketahuilah maklumat secara lengkap sebelum mengambil keputusan. Jelaskan nilai benar dan salah pada anak.
28. Menghukum Secara Fizikal
Dalam keadaan emosi, kita selalu sensitif dengan sikap anak, bermula
dengan suara keras, dan kemudian meningkat menjadi tindakan fizikal yang
menyakiti anak.
Jika
kita terbiasa dengan keadaan ini, kita telah mendidiknya menjadi anak
yang degil, suka menyakiti orang lain dan memberontak. Perhatikan jika
mereka bergaul dengan rakan sebaya. Percaya atau tidak, anak akan meniru
tindakan kita yang suka memukul. Anak yang suka memukul rakannya pada umumnya adalah anak yang sering dipukul di rumahnya.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jangan pernah sekalipun menggunakan hukuman fizikal kepada anak -
mencubit, memukul, atau menampar bahkan ada juga yang pakai alat seperti
tali pinggang atau rotan.
Gunakanlah kata kata atau dialog, dan jika cara dialog tidak berjaya
maka cubalah nilai diri kita. Cari jenis kebiasaan yang salah yang
selama ini telah kita lakukan dan menyebabkan anak kita berkelakuan
seperti ini.
29. Menunda atau Membatalkan Hukuman
Kita semua tahu bahaya yang luar biasa dari merokok, mula dari kanser,
mati pucuk, gangguan kehamilan dan janin. Tapi mengapa masih banyak yang
tidak peduli dan tetap degil untuk terus menjadi perokok? Jelas kerana
akibat dari merokok itu terjadi kemudian dan bukan ketika itu juga.
Begitu juga dengan anak kita. Jika anda menjanjikan sebuah akibat
hukuman atau hukuman bila anak berkelakuan buruk, jangan menunggu masa
yang terlalu lama, melambatkan, atau bahkan membatalkan kerana alasan
lupa atau kasihan.
Bila telah terjadi kesepakatan antara kita dan anak seperti tidak boleh
minta dibelikan gula-gula atau mainan dan ternyata anak cuba cuba untuk
merengek, kita ingatkan kembali pada kepadanya tentang perjanjian yang
kita buat bersama. Anak biasanya akan berhenti merengek. Namun malangnya
ketika anak berhenti merengek, kita menganggap masalah susah selesai
dan akhirnya kita menunda atau bahkan membatalkan hukuman entah kerana
lupa atau kasihan. Apa akibatnya? Anak akan mempunyai anggapan bahawa
kita hanya bercakap kosong, maka mereka akan mempunyai kecenderungan
untuk melanggar perjanjian kerana hukuman tidak dilaksanakan.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Jila kita sudah mempunyai kesepakatan dan anak melanggarnya, maka
sekatan perlu dilaksanakan, jika kita kasihan, kita boleh mengurangkan
hukumannya, dan usahakan hukumannya jangan bersifat fizikal, tapi
seperti pengurangan masa menonton tv, ataupun bermain video game.
30. Terpancing Emosi
Jika ada keinginannya yang tidak dipenuhi, anak sering kali merengek,
menangis, berguling dsb, dengan tujuan memancing emosi kita yang
akhirnya kita marah atau mengalah. Jika kita terpancing oleh emosi anak,
anak akan merasa menang, dan merasa boleh mengendalikan ibubapanya.
Anak akan terus berusaha mengulanginya pada kesempatan lain dengan
pancingan emosi yang lebih besar lagi.
Apa yang seharusnya kita lakukan?
Yang terbaik adalah diam, tidak bercakap, dan tiada tindak balas. Jangan
pedulikan rengekan anak kita. Bila anak menangis katakan padanya bahawa
tangisannya tidak akan mengubah keputusan kita. Bila anak tidak
menangis tapi tetap masih membuat hal, kita katakan saja bahawa kita
akan mempertimbangkan keputusan kita dengan syarat si anak tidak membuat
hal lagi. Selepas pernyataan itu kita keluarkan, lakukan aksi diam.
Tatap dengan mata pada anak, hingga ia berhenti mengadu/membuat hal.
Proses ini memerlukan masa lebih dari 30 minit dan tabahlah untuk
melakukannya. Dalam proses ini kita jangan malu pada orang yang
memperhatikan kita; dan jangan pula ada orang lain yang berusaha
menolong anak kita yang sedang membuat hal tadi. SEKALI KITA BERHASIL
MEMBUAT ANAK KITA MENGALAH, maka selanjutnya DIA TIDAK AKAN MENGULANGI
untuk yang kedua kalinya.
31. Menghukum Anak Saat Kita Marah
Hal yang perlu kita perhatikan dan selalu ingat adalah jangan pernah
memberikan hukuman apa pun pada anak ketika emosi kita sedang memuncak.
Pada saat emosi kita sedang tinggi, apa pun yang keluar dari mulut kita,
baik dalam bentuk kata-kata mahupun hukuman akan lebih menyakiti dan
menghakimi dan tidak menjadikan anak lebih baik. Kejadian tersebut akan
terkesan pada anak biar pun telah berganjak dewasa. Anak juga boleh
berdendam pada ibubapanya kerana sering mendapat perlakuan di luar
batas.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Bila kita sedang marah segeralah menjauhi anak. Pilihlah cara yang tepat untuk boleh menurunkan marah kita dengan segera.
Apabila marah,
kita akan memberikan hukuman yang berat pada anak, dan hanya akan
menimbulkan pemberontakan baru yang lebih kuat daripada anak. Selepas
emosi reda, barulah kita memberikan hukuman yang mendidik dan tepat
dengan konteks kesalahan yang dibuat. Ingat, prinsip hukuman adalah
untuk mendidik bukan menyakiti. Pilihlah bentuk sekatan atau hukuman
yang mengurangkan aktiviti yang disukainya, seperti mengurangkan masa
main game, atau bermain basikal.
32. Mengejek
Ibubapa yang biasa mengejek anaknya, seringkali secara tidak sedar telah
membuat anak menjadi kesal. Dan ketika anak memohon kepada kita untuk
tidak mengejeknya, kita malah semakin senang telah berjaya membuatnya
kesal atau malu. Hal ini akan membina rasa tidak suka anak pada kita dan
yang sering terjadi anak tidak menghargai kita lagi. Mengapa? Kerana ia
menganggap kita juga seperti kawna-kawannya yang suka mengusik,
Apa yang seharusnya kita lakukan?
Jika ingin bergurau dengan anak kita, pilihlah bahan bergurau yang tidak
membuatnya malu atau yang merendahkan dirinya. Akan jauh lebih baik
jika seolah-olah kitalah yang jadi badut untuk ditertawakan. Anak kita
tetap akan menghormati kita. Jagalah batas-batas dan elakkan bergurau
yang boleh membuat anak kesal apalagi malu. Bagaimana caranya?Lihat
ekspresi anak kita. Apakah kesal dan meminta kita segera
menghentikannya? Bila ya, segeralah hentikan dan jika perlu meminta
maaflah atas kejadian yang baru berlaku. Katakan bahawa kita tidak
bermaksud merendahkannya dan kita berjanji tidak akan mengulanginya
lagi.
33. Menyindir
Terkadang kerana marahnya ibubapa sering didedahkan dengan kata-kata
singkat yang pedas dengan maksud menyindir, seperti, "Tiba-tiba awal
hari ini dah balik", atau " kamu pikir Mama / Papa ini pengawal
keselamatan yang jaga pintu tiap malam ? ".
Kebiasaan ini tidak akan membuat anak kita menyedari akan sikap buruknya
tapi malah sebaliknya akan membuat ia semakin menjadi-jadi dan menjaga
jarak dengan kita. Kita telah menyakiti hatinya dan membuatnya tidak
ingin berkomunikasi dengan kita.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?
Katakanlah secara langsung apa yang kita inginkan dengan kalimat yang
tidak menyinggung perasaan, memalukan bahkan menyakiti hatinya. Katakan
saja, "Sayang, Papa / Mama bimbang akan keselamatan kamu kalau balik
lewat malam". Dan sebagainya.
34. Memberi Nama Gelaran yang Buruk
Kebiasaan memberikan gelaran yang buruk pada anak boleh mengakibatkan
rasa rendah diri, tidak percaya diri, atau rasa benci. Adakalanya anak
ingin membuktikan kehebatan gelaran atau gelaran tersebut pada orang
tuanya.
Penyelesaiannya.
Menukar gelaran buruk dengan yang baik, seperti, anak baik, anak hebat,
anak bijak. Jika tidak boleh menemuinya cukup dengan panggil dengan nama
kesukaannya saja.
35. Mengumpan Anak yang Suka Membantah
Ketika anak marah, merengek atau menangis, meminta sesuatu dengan
memaksa, kita biasanya mengalihkan perhatiannya kepada perkara atau
barang lain. Hal ini dimaksudkan supaya anak tidak merengek lagi. Namun
yang terjadi malah sebaliknya, rengekan anak semakin menjadi-jadi.
Contohnya, anak menangis kerana ia minta dibelikan mainan, kemudian kita
berusaha membuatnya diam dengan berusaha mengalihkan perhatiannya
seperti, "Lihat ada kakak pakai baju warna apa tu ..." atau "Lihat ini,
comelnya gambar ini"
Ingatlah selalu, pada saat anak kita sedang fokus pada apa yang dia
mahu, ia akan memancing emosi kita dan emosinya sendiri akan menjadi
sensitif. Anak kita pada umumnya adalah anak yang bijak. Dia tidak ingin
dialihkan ke hal lain jika masalah ini belum ada kata sepakat
penyelesaiannya. Semakin kita berusaha mengalihkan ke hal lain, semakin
marahlah anak kita.
Apa yang sebaiknya dilakukan?
Selesaikan apa yang diinginkan oleh anak kita dengan membincangkan
perkara itu dan membuat perjanjian di tempat, jika kita belum sempat
membuat perjanjian di rumah. Katakan secara langsung apa yang kita
inginkan terhadap permintaan anak tesebut, seperti "Papa / Mama belum
boleh belikan mainan itu sekarang. Jika kamu nak, harus menabung
terlebih dahulu. Nanti Papa / Mama ajar cara menabung. Bila kamu terus
merengek kita tidak jadi jalan-jalan dan terus balik rumah. "Jika ayat
ini yang kita katakan dan anak kita tetap merengek, segeralah kita
pulang biar pun urusan belum selesai. Untuk urusan lain kita masih boleh
menundanya. Tapi jangan sekali-kali menunda dalam mendidik anak.
36. Televisyen Sebagai Agen Pendidikan Anak
Perilaku anak terbentuk kerana 4 perkara:
- Siapa yang lebih dulu mengajarkan kepadanya: kita atau TV?
- Siapa yang dia percaya: apakah anak percaya pada kata-kata kita atau pada program TV?
- Siapa yang menyampaikan dengan lebih menyenangkan: apakah kita
menasihatinya dengan cara menyenangkan atau program-program TV yang
lebih menyeronokkan?
- Siapa yang sering menemaninya: kita atau TV?
Apa yang seharusnya kita lakukan?
- Komunikasi dan buat pendekatan dengan menilai 4 hal tersebut yang menjadi faktor pembentuk perangai anak kita.
- Menggantikannya dengan kegiatan di rumah atau di luar rumah yang padat.
- Gantilah program TV dengan cerita pengetahuan yang lebih mendidik
dan mencabar bermula dari kartun hingga CD dalam bentuk permainan
pendidikan.
37. Mengajar Anak untuk Membalas
Sesetengah anak mempunyai kecenderungan suka memukul dan ada juga yang
menjadi objek menerima pukulan dari rakan sebaya. Ibubapa biasanya tidak
sabar melihat anak disakiti dan memprovokasi anak kita untuk
membalasnya. Hal ini secara tidak langsung mengajar anak membalas
dendam. Sebab pada saat itu emosi anak sedang sensitif dan apa yang kita
ajarkan ketika itu akan diingatinya. Jangan terkejut bila anak kita
sering membalas atau membalikkan apa yang kita sampaikan kepadanya.
Apa yang sebaiknya kita lakukan?:
- Mengajar anak untuk mengelakkan rakan-rakan yang suka menyakiti.
- Menyampaikan atau melaporkan pada ibubapa berkenaan bahawa anak kita sering dipukul atau dibuli dari anak tersebut.
- Ajaklah ibubapa anak yang suka memukul untuk mengikuti program parenting baik di radio atau media lain.
Perkongsian adalah diambil dari sumber yang dinyatakan untuk panduan semua.